Daisypath Anniversary Tickers

Daisypath Anniversary tickers

SECURITY

Wednesday, November 24, 2010

BERHATI-HATI BERBELANJA DI CAMERON HIGHLANDS


TIDAK lama lagi cuti sekolah akan bermula. Jika ke Cameron Highlands, berhati-hati apabila berbelanja. Ini kerana pengalaman berada di sana baru-baru ini menunjukkan betapa mudahnya penjual buah dan sayur-sayuran melakukan penipuan timbangan. Kita tidak akan sedar ditipu kerana bersikap ambil mudah. Berapa ramai di antara kita melihat sendiri timbangan ketika membuat pembelian? Berapa ramai pula yang meminta peniaga menimbang semula buah-buahan yang dikatakan mempunyai berat tertentu sebelum membelinya?

Baru-baru ini, saya berada di tanah tinggi itu setelah agak lama tidak menjejakkan kaki ke sana. Perjalanan ke sana dari Ipoh, Perak hanya mengambil masa kira-kira sejam mengikut laluan Simpang Pulai. Tujuannya hanya untuk menikmati cuaca sejuk di samping melihat panorama hijau ladang-ladang teh yang terbentang luas.Dalam perjalanan ke destinasi, saya singgah sebentar di satu lokasi jual beli hasil keluaran petani yang letaknya tidak jauh daripada salah sebuah hotel terkenal di Cameron Highlands. Rata-rata peniaga di situ terdiri daripada tauke Cina dan pekerja Indonesia. Peniaga Melayu hanya ada dua atau tiga orang yang menjual makanan segera. 

Sebagai rakyat Malaysia yang sememangnya terkenal dengan adab sopan dan nilai-nilai murni masyarakat Timur, kita jarang meletakkan perasaan syak wasangka terhadap orang lain. Malangnya kepercayaan tersebut tidak dibalas dengan kejujuran. Niat untuk membeli buah limau terbantut gara-gara penipuan di depan mata.
 
Kesnya begini. Selepas memilih beberapa biji buah limau, saya meminta pekerja Indonesia di gerai itu untuk menimbang beratnya. Dia meletakkan di atas penimbang dan berkata ''satu kilogram''. Disebabkan terdorong oleh perasaan ingin tahu, saya melihat sendiri jarum penimbang yang diletakkan agak tersorok di sebalik buah-buahan.Betul, jarum menunjukkan angka satu, tetapi ia bukan dalam kilogram sebaliknya kiraan kati. Saya berlalu meninggalkan gerai tersebut tanpa membeli apa-apa dan terus ke sebuah lagi gerai yang terletak tidak jauh dari situ. Mata tertarik melihat warna merah strawberi yang masak ranum. Penjualnya, seorang lelaki Cina. Dengan penuh yakin, dia mengatakan setiap paket adalah seberat setengah kilogram. ''Beli satu RM10, beli dua RM18. Satu paket setengah kilogram," katanya.
 
Saya mengambil satu bungkus dan terus membayar harganya. Di sebuah gerai lain, sambil menunggu penjual memasukkan barangan yang dibeli ke dalam beg-beg plastik, saya mengambil kesempatan menimbang berat strawberi tadi. Jarum penimbang hanya menunjukkan beratnya 400 gram sahaja, bukan 500 gram atau setengah kilogram seperti yang didakwa. Melihat kepada reaksi si penjual, saya percaya ini bukan kali pertama mereka menipu.
 
Fenomena ini berlaku mungkin kerana pihak berkuasa tempatan gagal menjalankan tugas mereka dengan baik. Maka para peniaga bermaharajalela. Mangsanya adalah orang ramai terutama orang tua yang masih tebal dengan adab dan nilai-nilai murni masyarakat Timur. Berhati-hati lah kita selepas ini supaya tidak terjebak dengan penipuan sebegini.....

Tuesday, November 23, 2010

~KISAH PROFESSOR DENGAN SI PENGAYUH SAMPAN~


Satu hari seorang professor ingin menyeberang sungai dengan sebuah sampan yang dikayuh oleh seorang pengayuh sampan. Di tengah-tengah sungai, professor bertanya: “Kau pandai menulis dan membaca?”
“Tidak. Saya  buta huruf.” Jawab si pengayuh sampan.
“Kalau begitu, kamu sudah hilang separuh daripada kehidupan kamu. Orang yang tidak pandai menulis dan membaca seolah-olah hilang separuh keupayaan untuk hidup.”
Tidak lama selepas itu, professor bertanya lagi: “Kamu ada membuat simpanan wang di bank?”
“Tidak. Pendapatan saya hanya cukup-cukup makan saja. Macammana nak simpan duit.”
“Kalau begitu, kamu hilang lagi separuh daripada kehidupan kamu. Mana mungkin orang yang tiada wang boleh hidup dengan selesa pada masa tua nanti.”
Sampan terus bergerak. Sampai di tengah sungai. Tiba-tiba sampan itu bocor. Air masuk dengan banyaknya dan sampan hampir mahu tenggelam.
Si pengayuh sampan bertanya kepada professor: “Tuan, apakah tuan pandai berenang?”
“Err…errr, saya tidak tahu laaa.” Jawab professor dalam keadaan panik.
“Kalau begitu, tuan akan kehilangan seluruh hidup tuan!”

Apa pengajaran dari cerita ini ?:

Tuhan tidak mencipta manusia itu bodoh. Sebaliknya, Tuhan mencipta manusia dengan kebijaksanaan yang berbeza. Setiap kita mesti mengenal di mana kebijaksaan itu dan meningkatkannya ke tahap maksimum. Jangan rasa hina diri sebaliknya binalah keyakinan diri. Allah ciptakan setiap manusia untuk berjaya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...