Bercerita tentang graviti, ia merupakan suatu keadaan yang jarang diendahkan kerana dua sebab pertama - graviti sentiasa ada dan kedua graviti tidak pernah berubah sehingga kini.
Jika graviti Bumi berubah dengan ketara, suatu perubahan besar akan berlaku kerana semua bahan yang direka berasaskan daya tarikan graviti.
Sebelum melihat kepada perubahan dalam daya tarikan graviti, mari kita memahami apa sebenarnya graviti.
Graviti merupakan tarikan antara dua atom seperti mana kita meletakkan dua biji bola golf bersebelahan.
Sebenarnya dua bola golf yang kecil terdapat sedikit tarikan graviti antara satu sama lain jika diukur.
Bagaimanapun bila objek yang besar seperti Bumi yang mempunyai bilangan atom yang berkumpul, daya tarikan gravitinya akan kelihatan lebih ketara.
Alasan mengapa daya graviti Bumi tidak pernah berubah adalah kerana jisim Bumi yang tidak pernah bertukar.
Dan daya graviti Bumi hanya akan berubah apabila terdapat perubahan dalam jisim Bumi itu sendiri.
Daya graviti bertanggungjawab terhadap pusingan orbit yang mengelilingi Bulan serta menyebabkan semua planet mengelilingi Matahari.
Malah daya graviti juga menyebabkan fenomena pasang surut air laut.
Selama ini apabila berkata mengenai zero graviti, kita biasanya didedahkan dengan gambar-gambar angkasawan yang terapung-apung di udara di dalam kapal angkasa.
Mereka kelihatan hebat tetapi semuanya memerlukan pengorbanan kerana mereka merasa tidak selesa dengan loya, pening dan kaki mula mengecut tanpa graviti.
Sebenarnya terdapat banyak keburukan kerana dalam jangka masa panjang menyebabkan otot menjadi bertambah lemah dan tulang mereput apabila tiada daya tarikan graviti.
Cuba bayangkan bolehkah kita hidup tanpa graviti?
Cuba tolak ke tepi teori fizik dan bayangkan suatu hari tiada graviti di planet-planet dan tiada kuasa tarikan di Bumi.
Segalanya boleh menjadi malapetaka!
Selama ini kita amat bergantung kepada tarikan graviti untuk 'memegang' hampir semua benda di muka Bumi - kereta, manusia, perabut, pensil, buku, baju malah kertas yang diletakkan di atas meja.
Jika tiada tarikan graviti, segalanya akan terapung di udara malah dua perkara penting di Bumi juga, pertama air di lautan, tasik dan sungai akan hilang entah ke mana.
Justeru fenomena pasang surut air laut juga tidak dapat lihat lagi.
Kedua, udara di atmosfera juga tidak ada berada seperti sekarang dan akan terus 'melompat' ke angkasa.
Ini merupakan masalah di Bulan yang tidak mempunyai tarikan graviti yang mencukupi malah menghampiri keadaan hampagas.
Dalam kata lain, tiada yang kekal lama jika sesebuah planet tidak mempunyai daya tarikan graviti.
Tetapi jika daya tarikan graviti digandakan, ia juga bakal mencetus malapetaka kerana berat semua bahan juga akan berganda.
Masalah besar timbul pada struktur seperti rumah, jambatan, bangunan pencakar langit malah kaki meja yang biasa menyokong beban bagi daya tarikan graviti biasa.
Kebanyakan struktur atau bangunan akan runtuh dengan cepat jika bebannya digandakan.
Pokok dan tanaman juga bakal menghadapi masalah, malah tekanan udara akan digandakan dan memberikan kesan yang besar kepada iklim.
Sumber : UTUSAN MALAYSIA
infomasi yang terkini. tetapi mmg kan, mana boleh kot manusia hidup tnp graviti..
ReplyDeleteyup setuju..tak mungkin manusia leh hidup tanpa graviti kan..tabik spring ler kat angkasawan2 yang berjaya jejak kan kaki kat bulan....
ReplyDelete